Di perairan Thailand dan kepulauan Myanmar Mergui, terdapat beberapa puak orang Asli yang menjadikan kawasan laut sebagai pusat penempatan mereka.
Sehingga kini, terdapat lebih daripada 9,500 masyarakat laut yang wujud di mana 7,000 daripadanya merupakan masyarakat laut di Thailand manakala selebihnya tinggal di Myanmar.
Puak penduduk laut yang paling terkenal adalah Moken yang ternyata memiliki kelebihan penglihatan di dalam air yang jauh luar biasa daripada individu dengan penglihatan normal.
Suku kaum Moken sememangnya dikenali sebagai penyelam yang baik. Mereka tidak memerlukan sebarang peralatan pernafasan atau peralatan menyelam moden yang lain untuk menangkap hasil laut.
Penglihatan mereka sangat baik walaupun berada pada kedalaman 25 meter di bawah paras air.
Kelebihan ini telah membuatkan seorang saintis dari Universiti Lund iaitu Anna Kisling tertarik untuk menjalankan kajian dengan menjadikan kanak-kanak Moken sebagai subjek ujikaji.
Hasil kajiannya mendapati keupayaan penglihatan kanak-kanak Moken ini adalah dua kali ganda lebih baik berbanding kanak-kanak Eropah terutamanya ketika berada di dalam air.
Hal ini kerana kanak-kanak Moken sudah belajar untuk mengadaptasi keupayaan penglihatan ketika berada di dalam air.
Selain daripada kebolehan penglihatan yang luar biasa, kaum Moken juga dikatakan mampu menyelam ke dalam laut selama enam ke tujuh minit tanpa perlu naik ke permukaan untuk mengambil nafas.
Mereka juga mampu menyelam sejauh 60 hingga 70 meter kedalaman bagi mencari mutiara laut dan hidupan lain.
Kaum Moken mengamalkan kepercayaan terhadap alam semulajadi. Antara upacara utama yang diraikan setiap tahun adalah Pesta Jiwa ‘Kayu Panjang’.
Semasa pesta ini berlangsung, kaum Moken tidak akan bekerja selama tiga hari tiga malam dan hanya bersuka ria dengan menyanyi, menari dan meminum tuak.
Sehingga kini, tidak ramai masyarakat Moken yang diiktiraf dalam masyarakat moden Thailand.
Mereka tidak mempunyai sebarang kad pengenalan dan juga tiada kewarganegaraan. Malahan, kerajaan Thailand sendiri mengiktiraf masyarakat Moken sebagai penduduk gelandangan yang tiada status penduduk.
Pada tahun 1981, kerajaan Thailand telah mentakrifkan Pulau Surin yang menjadi rumah kepada kaum Moken ini sebagai Taman Negara Pulau Surin. Hal ini sedikit demi sedikit telah mengganggu gugat kehidupan aman masyarakat Moken dengan kedatangan pelancong dari luar.
Di samping itu, bagi mengubah kehidupan masyarakat Moken, kerajaan telah melaksanakan beberapa program seperti membina sebuah bilik darjah kecil selain menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan makan tengahari bagi menggalakkan kanak-kanak Moken untuk menuntut ilmu.
Walau apa jua usaha yang kerajaan Thailand laksanakan demi peningkatan taraf kehidupan masyarakat ini, diharap agar kebajikan mereka sentiasa terjaga dan tidak dieksploitasi.